Kanser & Minda

Posted: 05 May 2008 01:02 AM CDT

Jejak benar Ku….

Sudah lebih satu dekad aku melaluinya. Apa kata pakar? “The first five years is the most crucial period. If you survived more than five years, then you are as good as cured.” Siapa lah aku? Pada ku bila seorang doktor berhujah, hanya Allah, s.w.t boleh mencabarnya. Lagi pula doktor pakar yang berhujah.

Lima tahun aku seorang yang gigih menjaga badan. Badan langsing bergaya hasil dari kekerapan bersenam. Alhamdullilah, ramai pesakit kanser payu-dara yang lain dipulihkan semangat kerana melihat keterampilan ku.

Bila sudah melewati lima tahun, ubat tamoxifen yang haram aku tinggalkan satu hari pun perlu diberhentikan kerana takut akan risiko kanser peranakan. Tiada ubat lain diberikan. Kanser-ku ER dan PR positif. Sebenarnya sudah ada ubat yang masuk ke pasaran tempatan dan hospital, yang memainkan peranan yang lebih baik, menyekat tindakan estrogen ke atas payudara. Aromatase inhibitors. Walaupun tiada ubat penghalang estrogen, lima tahun lagi berlalu dan aku tetap sihat. Masih tiada ancaman kanser yang dahulu. Agaknya sudah sembuh. Lagi pula kanser-ku jenis yang tidak begitu agresif. Rasa-rasanyalah, gred I dari segi keganasan dan noda limfa dibawah ketiak tiada yang positif.

Cuma yang mencurigakan ianya dekat dengan garisan pembedahan mastektomi (close to margin or less than 10mm from margin). Walaupun begitu sudah diberi sinar radiasi. Tentu sekali mesin rawatan yang kosnya mahal tak tersebut harganya oleh ku, berkesan menghapuskan sel-sel kanser yang tertinggal oleh pembedahan. Di tambah pula dengan enam pusingan kemoterapi yang mengajar erti loya dan mual yang sebenar.

Genap sepuluh tahun berlalu, ketulan kanser tumbuh didinding dada. Apa yang salah? Mungkin juga aku alpa dengan rutin gaya hidup sihat dan asyik bekerja tanpa sedar yang fizikal agak terabai. Badan juga sudah over-berisi. Tiada guna penyesalan. Sikap ku tetap positif dan melihat ke depan. Aku masih menganggap saranan dari pakar bertaraf kebenaran yang jitu. Aku lalui radiasi lagi ke tempat ketulan kanser yang berulang, yang sudah dibuang melalui pembedahan.

Tiga bulan berikutnya, sewaktu temujanji susulan, didapati dari pemeriksaan X-ray, sebelah dari paru-paru ku hampir lenyap ditenggelami oleh air. Plural effusion. Memang aku seorang yang kental semangat. Sudah teruk macam tu, aku masih dapat melalui hari-hari bekerja seperti biasa. Kalau tidak kerana pemeriksaan susulan hari itu, tentu terlewat dikesan. Paru-paru disebelah tempat diradiasikan. Terfikir akan perkaitan: radiasi melemahkan tisu dan benih kanser hidup subur! Benar

Dari hari itu aku rajin ikut nasihat rakan dan survivor lain tentang pengamalan pemakanan dan herbal anti-kanser. Juga rajin berubat secara tradisional. Pantang disebut cara rawatan dan perawatnya, akan ku usahakan. Rawatan konvensional juga ku ambil. Oleh kerana kemoterapi terdahulu adalah kategori ‘first line’, aku terima saja tawaran kemoterapi ‘second line.’

Memang kuat, tapi semangat ku yang tidak luntur melindungi ku dari kesan-kesan sampingan yang kuat. Hasil dari kemo yang kuat hanyalah menahan penaklukan kanser ke atas badanku. Ya, setakat bertahan. Pleural effusion masih terjadi dua kali lagi selepas kemo tersebut. Walau bagaimana pun, dengan amalan minum bermacam-macam jenis jus, termasuk jus pecah beling, aku berjaya hidup melebihi satu tahun dari tamatnya kemoterapi kedua dulu.

Kalau sesiapa yang tidak mengenali ku, melihat ketrampilan ku, tiada yang menyangka aku adalah pengidap kanser payudara peringkat 4, malah untuk mempercayai aku pernah mengidap kanser pun agaknya, susah. Aku cergas segar, mungkin kerana pengamalan herbal dan diet yang lebih sihat. Terasa memang sihat, walaupun masih ada batuk berdarah sekali-sekala.

Kebiasaan orang yang sihat walaupun sakit, terasa jemu juga menelan jus pecah beling dan kateh murai setiap hari. Kemungkinan juga aku begitu mengharapkan penyembuhan total, lantas ku abaikannya dan berhijrah kepada perawatan lain yang disarankan. Juga apabila berasa sihat, sudah tidak larat lagi hendak makan hanya “vegetarian food,” tanpa gula dan terlebih garam. Manalah nak cari sayur-sayuran organik?. Kawasan keliling rumah ada, tapi malas lah nak tanam sendiri.

Apalah seronoknya hidup jika tidak boleh makan nasi dengan ikan panggang dan budu serta ulam-ulamannya. Bukankah ulam-ulaman itu “raw food?” Aku sedar akan pantang-larang yang popular di kalangan pesakit kanser -aku juga mengamalkannya semasa dalam bahaya kerana paru-paru yang hampir ranap – tetapi tak terlarat kerongkong ini untuk mengikutnya apabila badan sudah berasa sihat dan cergas. Malah, aku sudah diam-diam merancang untuk pulang bekerja.

Walaupun begitu hati masih tidak berpuas hati. Doktor ku seolah-olah membiarkan saja dan aku diberitahu, “We can’t proceed giving you trial chemotherapy because your cancer is stable.” Oleh kerana kepercayaan ku kepada kata-kata doktor sudah agak lentur, aku terus berusaha mendapatkan rawatan secara alternatif, sampai ke tahap pembedahan batin. Segala usaha ku secara alternatif atau komplementari sebenarnya menelan lebih banyak perbelanjaan dari rawatan konvensional, kerana secara konvensional aku dibiayai oleh majikan.

Sekarang ini, aku terlantar di katil hospital semenjak pulang dari rawatan alternatif yang terakhir. Walaupun terasa paru-paru lega kerana pembedahan batin yang dilakukan, ditakdirkan selepas itu aku mengalami pening dan sakit kepala yang paling kuat yang pernah ku alami.

Wakil sel kanser dari payu-dara ku yang bertapak di dalam saraf otak berhampiran dengan saraf tunjang sedang giat membesar, sehingga aku tidak dapat membuka mata dan bergerak kerana pening. Aku sedar, keadaan ku kritikal. Pembedahan adalah 50-50% peratus. Doktor cuma meluahkan anggaran tersebut tetapi tidak memperincikan samada 50-50 itu hidup @ mati atau hidup dengan ketulan kanser dibuang 100% atau hidup dengan komplikasi, seperti tidak sedarkan diri, tidak dapat bercakap dan berfikir dan sebagainya.

Bila sahabat ku Dr. H datang, ku pegang erat tangannya. Ku pohon dia berdoa supaya aku terselamat dengan pilihan rawatan, yang turut dipersetujuinya. Tidak kepada pembedahan. Akan ku terima radiasi paliatif, untuk mengecutkan kanser yang berada ditempat yang bahaya. Ia boleh menekan pernafasan ku serta merta, jika ia membesar.

Dr. H menyedarkan aku akan kehidupan yang seterusnya, dan tidak melepaskan harap dan semangat dalam kehidupan ini. Ikhtiar tetap disarankan walaupun aku hanya boleh mengerakkan kelopak mata. Dalam diam kaku, minda sedarku, tanpa diusik oleh pembedahan dan ubat bius boleh ku ajak membantu diriku. Boleh ku bawa bertaubat berkali-kali. Boleh ku bawa membuat saranan yang baik kepada diri atau ‘self-hypnosis’ untuk kesejahteraan.

Mungkin ada bibik penyesalan yang ku luahkan kerana Dr. H mengatakan, tiada guna didesak untuk mendapatkan lebih banyak lagi kemoterapi. Sabar. Kemungkinan kemoterapi yang kuat yang telah di ambil, telah mematikan kemaraan kanser di dada, paru-paru dan tulang, tetapi ianya tidak berkesan di arena saraf dan otak. Kemo tersebut tidak dapat mencari dan menghapuskan perwakilan sel kanser yang telah lama dahulu bermastautin di otak. Perwakilan-perwakilan di dada, atau di paru-paru atau ditulang telah memberi mandat kepada perwakilan di dalam otak untuk meneruskan perjuangan mereka, sebelum mereka dihapuskan atau dibantutkan oleh TAC dahulu.

Kata Dr. H lagi, kanser payu-dara adalah satu kanser yang amat licik dan pandai memperdayakan diri kita. Senjata kita yang utama adalah semangat yang kuat, kerohanian yang kuat supaya diri sejahtera selalu (tidak tension dan tertekan) serta usaha yang tinggi untuk berterusan memastikan pertahanan atau imuniti badan yang tinggi. Dia akhirnya memberi harapan dengan cerita tentang seorang kanser survivor yang menolak kemo barisan kedua (second line) yang dibawa pulang ke rumah ditolak diatas kerusi roda. Dengan hanya berusaha dengan herbal dan kekuatan Dalaman beliau hidup sehingga sekarang, walaupun semasa ditolak pulang paru-parunya penuh berair dan tulung-tulangnya tepu dengan sel-sel kanser.


Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: